13 Jan 2016

Pulau Sipadan


Tahukah anda?
Pulau Sipadan di Sabah nampak seperti sebuah pulau biasa yang terdapat di Malaysia, namun tahukah anda bahawa pulau ini telah terbentuk berjuta-juta tahun dahulu daripada sebuah gunung berapi di dasar laut ? Ini menjadikan pulau Sipadan sangat unik karena sebagai satu-satunya pulau di Malaysia yang bersifat demikian. Pada tahun 2009, pulau Sipadan telah tercatat sebagai peringkat ke 77 bentuk muka bumi yang ajaib dan terbaik di dunia menurut undian umum yang dikeluarkan oleh New 7 Wonders of Nature Votes Committee.
Di sekitar perairan Sipadan, para penyelam akan pasti dapat melihat Penyu Agar dan Penyu Karah yang membiak di dalam air sebelum penyu betina mendarat untuk bertelur di pantai yang berpasir putih. Ikan Alu-alu (Baracuda) dan Ikan Selar yang bergerak dalam bentuk formasi seolah-olah sebuah puting beliung yang dapat langsung disaksikan oleh para penyelam. Selain daripada itu, terdapat sebuah kubur penyu dalam air yang penuh misteri di tepi pulau Sipadan. Terbentuk daripada sebuah gua batu kapur dalam air, dan memiliki serangkaian terowong yang mengandung banyak jasad rangka penyu yang tersesat lalu mati lemas. Antara kawasan-kawasan popular untuk para penyelam dan pengunjung di sekitar Sipadan adalah Barracuda Point, Gua Penyu, Coral Ardens Drop Off, North Point, Wets Ridge, taman-taman tergantung, Lobster Lair, Batu Karang Tengah dan sebagainya.

Pulau Sipadan merupakan sebuah yang di gambarkan sebagai 'hasil seni agung yang tidak diusik manusia' oleh mendiang Jacques Cousteau seorang penyelidik laut yang terkenal di dunia, sementara para penyelam skuba di merata dunia memilih pulau ini sebagai salah satu dari lima destinasi menyelam yang terunggul di dunia. Pulau ini telah diwujudkan sebagai tempat perlindungan hidupan liar pada tahun 1933 dan persekitarannya yang asal telah dapat dikekalkan sehingga kini.
Pulau Sipadan ialah sebuah gunung berapi mati dan apa yang anda lihat 'sebuah pulau' sebenarnya merupakan kon gunung berapi tersebut. Setelah mengalami evolusi beribu-ribu tahun, kini diatas pulau Sipadan terdapat hutan dan belukar yang agak padat dengan pohon-pohon kayu dan kelapa yang tinggi. Di bawah pulau Sipadan pula terdapat taman tergantung, dinding-dinding yang dipenuhi karang laut, gua bawah air, padang pasir dan terumbu karang yang padat. Disebabkan inilah laut Pulau Sipadan dipenuhi dengan haiwan-haiwan pelagic yang bersaiz gergasi, penyu-penyu yang bergerak bebas dan kesemua haiwan ini dapat anda saksikan berenang dalam kumpulan-kumpulan yang besar!
Kedudukan geografinya yang terletak dalam kawasan biodiversiti marin yang paling kaya di dunia menjadikan pulau ini popular dengan keunikan dna keindahannya. Tiada tempat lain di dunia yang menawarkan diversiti seperti ini, dan para penyelidik dari seluruh dunia kerap menemukan spesies-spesies baru apabila menjelajah kawasan baru di pulau ini.

Pulau Sipadan terletak dalam daerah Semporna, berhampiran dengan daerah Tawau, Sabah. Untuk pergi ke Pulau Sipadan anda perlu mendarat di Lapangan Terbang Tawau dan kemudiannya bergerak dengan kenderaan menuju ke daerah Semporna dalam masa 1jam 20 minit.
Dari jeti-jeti pelancong di pekan Semporna, anda perlu menaiki bot dan perjalanan akan memakan masa lebih-kurang 1jam 15minit lagi. Biasanya pelancong tidak akan terus ke Pulau Sipadan, sebaliknya akan mendarat di Pulau Mabul kerana tidak ada walau sebuah resort pun yang beroperasi di Sipadan. Kesemua resort-resort peranginan telah diarahkan untuk berpindah ke Pulau Mabul sejak tahun 2005 lagi. Kini, pulau Sipadan hanyalah sebuah santuari marin yang ditadbir sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara dan Lembaga Taman-Taman Sabah.

Taman Negara Pulau Sipadan ialah 3 gugusan pulau yang berada berhampiran dengan Sipadan. Pulau-pulau tersebut ialah Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Sipadan. Kapalai terkenal dengan keadaan geografinya iaitu sebuah 'pulau yang telah tenggelam' dan diatasnya hanya didirikan satu resort mewah iaitu Kapalai Dive Resort manakala Pulau Mabul merupakan syurga 'Muck-diving' dunia yang menawarkan spesis macro-marin yang unik dan berwarna-warni.