18 Apr 2016

Regatta Lepa


Regatta Lepa merupakan perayaan tahunan Daerah Semporna sejak tahun 1994. Regatta Lepa mula diperkenalkan pada tahun 1994 sebagai perayaan peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan peringkat negeri Sabah. Pada tahun 2003 Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' dan kini Regatta Lepa merupakan salah-satu acara tahunan Malaysia.
LEPA dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud 'bot'. Ia dipercayai berasal dari kamuniti nelayan yang menetap di Pulau Bum-Bum Semporna pada satu ketika dahulu.
Perayaan ini memakan masa 2 hingga 3 hari. Bayangkan di tepi pantai terdapat ratusan Lepa yang dihias cantik dengan segala macam renda, payung, sambulayang berwarna-warni, pakaian tradisi, persembahan kebudayaan dan pertandingan acara laut. Semua lepa-lepa ini akan beratur sambil bergerak perlahan dihadapan pentas yang disediakan untuk para hakim dan orang kenamaan untuk menilai dan memilih pemenang. Pemenang akan dipilih berdasarkan kecantikan Lepa dan tarian yang dipersembahkan.